Sunday, March 8, 2015

Cinta halal

 
Sebelum ini saya tidak mempercayai cinta. Serius. Tapi memang sejujurnya pernah ada teman lelaki dan pernah bercinta sebelum bernikah. Cuma, dulu saya tidak percaya wujudnya cinta sejati. Lelaki dan cinta sejati? Ah, lucu! Gandingan yang serba tidak kena  pada pendapat saya dulu. Itu dulu. Saya akui kemanisan percintaan sebelum nikah semuanya tipu daya dunia. Tidak indah pun. Cinta yang halal mengatasi cinta sebelumnya.

Selepas berkahwin, Allahuakbar! Indahnya. Tuhan kurniakan saya seorang insan yang sangat penyayang. Menjadi sahabat untuk berkongsi cerita. Menjadi teman berkongsi ketawa. Menjadi bodyguard melindungi setiap masa. Dengannya saya rasa sangat disayangi dan selamat.

Yang menariknya, suami saya banyak mengajar saya tentang agama. Menjaga solat terutamanya. Biasanya pada hari Khamis, malam Jumaat, kami akan membaca Yassin. Jika berkesempatan, kami akan membacanya bersama-sama, malah solat berjemaah bersama. Malah, suami saya akan menegur saya sekiranya melihat tingkah laku yang tidak kena atau tidak elok. Contohnya, sekiranya saya termengumpat sesiapa, suami akan menyedarkan. Sekiranya saya bad mood tak kena masa, suami akan beri teguran. MasyaAllah. Betapa saya memerlukan bimbingan menuju syurga, dan suami saya banyak membantu. Pengalaman yang sangat menarik.

Kenapa tiba-tiba saya coretkan ini? Mungkin kerana saya mahu menyedarkan diri saya sendiri dan sesiapa sahaja yang membaca blog ini bahawa pernikahan itu sangat indah. Jika kita berasakan percintaan sebelum bernikah itu sangat mengasyikkan, percayalah, itu semua tipu daya syaitan. Cinta berdasarkan nafsu bukan sahaja mendatangkan dosa, bahkan mudarat buat diri sendiri. Jauhilah cinta sebegitu.

Sekiranya kita mempunyai perasaan cinta terhadap orang lain, dan sekiranya kita belum bernikah, maka segeralah berusaha mempercepatkan nikah. Jadilah yang halal kepada pasangan kita. Yang paling utama bukanlah cinta manusia. Tetapi cinta Tuhan. Bagaimana kita mahu mendapatkan cinta Tuhan andai kita melakukan kemungkaran dan kemaksiatan? Insaflah. Pintu taubat masih terbuka. Kita sama-sama berubah dan perbaiki diri.

Sejak berkahwin, sekalipun susah dan senang, saya melihat rahmat kasih sayang Tuhan. Ketika sakit, suami setia di sisi. Ketika lemah, suami sentiasa menjadi pelindung. Ketika penat, suami sentiasa membantu. Ketika suka, suami menemani untuk ketawa. Ketika gembira, suami turut bersama. Allahuakbar! Besarnya nikmat perkahwinan.

Kita perlu mencari yang halal. Janganlah beranggapan perkahwinan akan menyusahkan. Percayalah bahawa perkahwinan akan membuka pintu rezeki kita dari segenap penjuru malah dari arah yang mungkin kita tidak pernah sangka.

Jadilah yang halal! Tinggalkan dosa! Tinggalkan maksiat! Kejarlah rahmat kasih sayang Tuhan!

No comments: