Monday, May 24, 2010

Kuat

Kuat? Apa maksud bagi kekuatan? Kuatkah kita dengan cabaran? Adakah menjadi seorang yang lemah fizikal itu tanda tidak kuat? Adakah lahirnya dengan kelemahan dan kekurangan itu tanda tidak kuat? Atau seorang yang mengharap pada orang lain setiap masa itu petanda tidak kuat?

Pentafsirannya berbeza bukan? Kuat itu subjektif. Maksudnya berbeza pada setiap ruang yang berbeza.

Mungkin kuat di mata kamu, tapi tidak di mata saya. Begitu juga sebaliknya.

Seorang teman pernah menceritakan detik sedih dalam hidupnya. Bagaimana pertelingkahan dalam keluarga, pengembaraannya ke dunia luar yang berliku dan pelbagai cabaran lagi. Tapi dia tabah. Sabar. Menghadapi cabaran tersebut. Petanda dia kuat? Mungkin. Kagum dengan teman ini.

Rakan saya pernah jatuh tersungkur, dikritik oleh guru, dan dipersendakan. Namun hari ini, dia sudah berjaya menamatkan pengajian. Malah bakal melangkah ke alam pekerjaan yang baik. Walaupun dia pernah dipandang rendah oleh guru dan rakan. Dibandingkan-bandingkan dengan kekasih hatinya yang dikatakan lebih bijak daripadanya. Tetapi dia tidak mengalah. Dia tempuhi dengan sabar. Petanda dia kuat? Mungkin.

Seorang insan dilahirkan dengan kekurangan fizikal, ada yang menyisihkan...Namun dia tetap kuat menghadapi hari-harinya. Pada saya, dia memang kuat.

Di sekeliling kita, saban waktu, ada sahaja perkara yang berlaku. Yang memungkinkan kita membuat penilaian tentang tahap kekuatan seseorang. Bercakap, makan, bekerja dan sebagainya, juga ada yang mengukur dengan skala kuat.

Sekiranya kita dicemuh, dikritik dan dipersenda...dengan andaian bahawa kita tidak kuat...dan sekiranya kita tunduk pada dugaan serta tidak berusaha memperbaiki kelemahan atau kekurangan, sebenarnya itulah petanda kita tidak kuat.

Sebenarnya, yang menentukan kuat atau tidak itu adalah kita sendiri. Saya percaya itu.

No comments: