Tuesday, May 4, 2010

Semakin hampir...

Hari ini (Isnin) saya masuk ke kelas 2C. Tanpa perancangan yang teliti, dengan yakinnya saya mengajar pembentukan kata kerja. Natasha, Henry dan beberapa orang pelajar tidak hadir. Sebolehnya dalam waktu2 sebegini (hendak menamatkan praktikal) saya berharap sangat mereka semua hadir dan tidak menimbulkan sebarang masalah.

Esok saya akan masuk ke kelas 2A. Haritharan (salah seorang pelajar kelas ini) telah digantung persekolahan selama 2minggu. Saya agak kecewa. Bukan menentang keputusan pihak pentadbiran, tetapi sebolehnya saya tidak mahu pelajar saya menerima hukuman sedemikian. Lebih-lebih lagi saya sangat menyayangi pelajar-pelajar saya. Ketika diberitahu oleh Leong Mun Jian tentang Haritharan tidak datang ke sekolah kerana digantung persekolahan, air mata saya bergenang.

Menghitung hari menghadapi hari-hari berbaki di sekolah ini. Walaupun ada ketika saya stres tentang perjalanan beberapa perkara (seperti jadual relief dan pelajar nakal) tetapi saya agak sedih akan meninggalkan pelajar-pelajar saya yang sudah saya anggap seperti adik sendiri.

* Setiap kali melihat wajah mereka, saya terbayangkan adik-adik (Mus, Razak, Nadia) di rumah. Belajarkah mereka di sekolah? Nakal kah? Semoga semuanya baik sahaja. Saya amat merindui mereka.

No comments: