Sunday, May 15, 2011

Cikgu Guru Sifu!

Mencari permata
Di celah pasir berjuta
Bukan semudah menyusun kata
Beromong sambil bohong
Tentang hidup penuh lohong
Ada yang takut bersama
Takut derita, takut susah
Tapi dia? Dia mara tanpa hitung bicara
Dia melangkah, gentarnya tiada
Hadir bawa cahaya
Biar semua yakin percaya
Indah itu bukan fantasi dunia
Melainkan jelma di alam nyata!

Siapa bisa menyangkal
Dia insan berakal
Yang selalu cekal
Membenih harapan dan jasa
Biar kekal sepanjang masa.

Hari ini, jalan ini walau berliku
Sekalipun petualang menunggu
Dia tetap melangkah jitu
Dia bukan insan dipahat kaku!
Bisiklah fatamorgana apa sahaja
Dia bukan insan semurah harta dunia
Tuturnya berhikmah
Tingkahnya bermakna.

Buana seolah bersuara
Berkongsi sejuta rasa
Pahit manis tergaul tiada beza.

Kalau dulu dia bawa harapan bersama
Kini dia menapak jauh bawa makna
Jasa tak terlupa, kasih tak terkira
Dialah permata, di celah pasir berjuta!

2 comments:

CIKGU WANIEY said...

Selamat Hari Guru kakakku sayang~~~

Miss Bieb Juddin said...

Cikgu Waniey > Sooo sweetttt! :) Thanks,Waniey cyg! Happy teachers day too! ^_^