Sunday, February 7, 2010

Merentas desa

Pagi tadi sekolah tempat saya berpraktikal mengadakan Aktiviti Merentas Desa dan diselitkan dengan majlis perpisahan serta mesyuarat guru. Bermula pukul 7.20 pagi dan berakhir pada pukul 12.05 tengah hari.

Saya ditugaskan menjadi hakim penamat. Seronok. Menunggu kehadiran pelajar yang berjaya menghabiskan larian dalam masa yang ditetapkan.

Ramai pelajar sesi petang yang datang. Sesi pagi sedikit sahaja. Mungkin tidak berminat dengan aktiviti bersukan.

Sesekali berkumpul begini bersama-sama pelajar tanpa melibatkan sesi pengajaran akademik memang agak menghiburkan. Lebih-lebih lagi apabila diselitkan dengan aktiviti memperlihatkan bakat pelajar seperti tarian shuffle, break dance, Michael Jackson, punjabi dan nyanyian. Dan yang paling istimewa ialah persembahan tarian singa.

Seronok melihat keletah pelajar menunjukkan bakat masing-masing. Disambut dengan sorakan semangat oleh rakan. Yang menariknya, ramai pelajar bergaul tanpa mengira bangsa. Melayu, Cina, India. Berkongsi ketawa dan cerita.

Sekolah ini memang agak bermasalah dari aspek disiplin. Tetapi saya tidak menafikan, masih terdapat sisi baik dalam diri pelajar. Semoga mereka akan berubah menjadi seorang yang lebih baik. InsyaALLAH.

No comments: