Saturday, February 6, 2010

Tulang busuk

Saya melayari beberapa buah blog untuk mengikuti dan cuba memahami kes tuduhan liwat yang sedang hangat diperkatakan kini.

Dan saya terjumpa artikel berikut. Menarik untuk dikongsi dan dihayati.
.
.
.

Ketika menjadi Gabenor Mesir, Amru bin Al’Ash menduduki sebuah istana yang besar. Di hadapannya terhampar sebidang tanah yang cantik tetapi dicacatkan oleh sebuah pondok seorang yahudi yang terlalu buruk.

Amru tidak sedap hati melihat pemandangan yang begitu rupa. Alangkah baiknya jika di hadapan istananya itu dibina sebuah masjid. Dan Amru, tanpa bertangguh lagi meminta Yahudi itu datang mengadapnya.

“Saya mahu membeli tanah tuan,”kata Amru Al’Ash.
“Saya tidak mahu menjualnya.”
“saya bayar tiga kali ganda daripada harga biasa,”balas Amru lagi.
“Walau berapa pun tuan tawarkan, saya tetap tidak akan jualkan.”
“Tuan akan menyesal nanti.”

Keesokan harinya Amru sudah membuat keputusan untuk merobohkan pondok buruk itu. Yahudi itu tidak dapat berbuat apa-apa kecuali menangis. Namun dia bertekad mahu membawa masalahnya kepada khalifah.
Sampai di Madinah, dia berjumpa khalifah Umar Al Khattab di halaman Masjid Nabawi di bawah sebatang pokok kurma yang rendang.

“Ada masalah apa tuan datang ke mari ?”Tanya Sayidina Umar.”Mesir terlalu jauh dari sini.”
Yahudi itu menceritakan segala-galanya.
Wajah Sayidina Umar berubah.”Tidak sepatutnya dia berbuat bergitu!”Lalu diambilnya sebatang tulang dari tempat sampah.Di atas tulang itu diguris huruf alif dengan pedangnya di tengah-tengah huruf alif itu pula dipalangnya.
“Nah, ambil tulang ini dan serahkan kepada gabenorku.”
“Dari jauh saya datang untuk menuntut keadilan tetapi tulang busuk ini yang tuan berikan. Adakah tuan mahu menghina saya?”
“Wahai tuan yang saya hormati, pada tulang busuk itulah terletak keadilan yang tuan mahukan,”balas Sayidina Umar.

Yahudi itupun pulang dan menyerahkan tulang busuk itu kepada gabenor. Sungguh aneh.Amru kelihatan pucat dan menggigil tubuhnya apabila menerima tulang yang busuk itu. Dia segera memerintahkan supaya dirobohkan masjid yang baru itu dan dibina semula pondok Yahudi tersebut.

Tiba-tiba Yahudi tadi datang kepada Amru dengan tergesa-gesa.
“Ada apa lagi tuan?”Tanya Amru lembut.
“Jangan dibongkar masjid ini. Beritahu saya mengapa tuan begitu takut apabila memandang tulang itu.”

Amru menjelaskannya:”Sebenarnya tulang itu tulang biasa, malah baunya pun busuk.Tapi kerana dikirimkan oleh khalifah, ia mengandungi peringatan yang tajam dan tegas.
“Maksud alif itu ialah: Ingatlah, betapa tinggi pangkat dan kekuasaanmu sekarang, suatu masa nanti kamu akan berubah menjadi tulang busuk juga.Kerana itu bertindak adillah seperti huruf alif,adil di bawah dan adil di atas.Andainya engkau tidak bertindak lurus, akan kutebas lehermu.”

Yahudi tersebut terharu.Dia lantas mengisytiharkan tanahnya diwakafkan.Dirinya juga Islam akhirnya.

No comments: