Wednesday, June 2, 2010

PETAH 2010

Debat 111 jam tanpa henti @ PETAH 2010 telah pun melabuhkan tirainya. Tahniah buat pihak penganjur, barisan AJK dan rakan-rakan pendebat yang telah bersama-sama mencipta rekod ini.

Saya berkesempatan berkunjung selama 4 hari ke PETAH yang berlangsung di PWTC (acara ini berlangsung 5 hari). Saya juga turut berkesempatan mengisi 3 slot debat. Sangat seronok. Dapat berdebat setelah hampir satu tahun meninggalkan dunia perdebatan.

Sejujurnya saya sangat kagum dengan kesungguhan rakan-rakan dan barisan AJK yang bertungkus lumus memastikan PETAH berjalan lancar dan rekod 111 jam dapat direalisasikan. Turut kagum dengan kesungguhan beberapa individu penting yang turut sama hadir memberi sokongan seperti Datin Norjuma, Datuk Mukhriz Mahathir dan beberapa menteri serta timbalan menteri yang lain. Kesudian mereka hadir juga menggambarkan betapa prihatinnya mereka untuk turut menyokong aktiviti intelektual sebegini.

Sepanjang berkunjung ke PETAH banyak perkara yang saya pelajari. Tentang debat, tentang persahabatan, tentang kegigihan, tentang kesabaran, tentang ilmu, tentang ragam manusia yang pelbagai. Kesemuanya menjadikan PETAH ini begitu unik dan istimewa.

Menjadi pemerhati, pengunjung dan pendebat yang mengisi slot-slot debat di PETAH 2010 amat memberi kepuasan kepada diri. Semoga aktiviti sebegini dapat diteruskan dan dikembangkan lagi. Setiap usaha yang baik pasti akan mendapat ganjaran yang baik. Kalaupun tidak dari aspek material, tetapi nilainya pasti lebih berharga di sisi yang lain.

Tahniah buat semua yang menjayakan Pesta Intelek dan Hujah 2010 @ Debat 111 jam tanpa henti di PWTC bermula 28 Mei sehingga 1 Jun 2010. Akhirnya impian menjadi realiti!

No comments: