Wednesday, March 9, 2011

Celaru

Sudah beberapa hari, saya masih tidak menemui kata-kata yang tepat untuk menggambarkan apa yang sedang saya rasai.

Resah, risau dan rindu. Teradun menjadi satu.

Saya cuba mencari ketenangan sekalipun dihimpit dengan pelbagai persoalan yang adakala mengganggu fikiran.

Banyak perkara yang saya rahsiakan. Pendam dan hadam sendiri. Saya bukan peluah perasaan yang baik. Bercakap dengan kias. Segalanya ditapis-tapis. Pelbagai perkara mahu diluahkan. Jemari laju menaip, menulis pelbagai perkara. Namun setelah siap saya luahkan, akhirnya hanya disimpan dalam draf. Terasa mahu dipaparkan, tapi hati selalu menghalang. Bimbang andai ditafsirkan dengan maksud yang berbeza.

Kadangkala bersifat pemikir bukan satu sifat yang memberi kelebihan. Saya terlalu memikirkan pelbagai perkara. Ada sahaja persoalan yang saya timbulkan. Apa, kenapa, mengapa, bagaimana, bila, dan lain-lain. Sehingga kadangkala mengganggu emosi saya sendiri.

Saya bukan seorang yang betah untuk duduk diam tanpa memberi ruang untuk otak berfungsi. Laju sahaja meneka, memikir, menelaah pelbagai perkara. Disebabkan itu juga saya banyak mendiamkan diri sejak kebelakangan ini. Bercakap atau berjumpa sesiapa terasa kosong. Fikiran melayang, hanya jasad yang kelihatan. Hatta saat cuba melelapkan mata, saya masih memikir pelbagai perkara. Sangat menyeksakan.

Dalam pelbagai perasaan yang teradun menjadi satu, saya tidaklah beranggapan dunia sudah berakhir, atau langit sudah runtuh menimpa kepala. Saya masih rasional untuk cuba berfikir dengan hikmah. Saya masih menemui ketenangan iaitu ketika mengabdi diri kepada Tuhan. Setiap kali tibanya waktu solat, ketika itulah hati saya terisi dengan ketenangan.

Saya sendiri sudah tidak mengetahui perasaan sendiri. Bercampur. Semoga segalanya akan menjadi lebih baik, lebih menenangkan, lebih mendamaikan.

No comments: