Tuesday, May 10, 2011

Hitam putih kehidupan...

Lihat sahaja gambar tersebut. Benar, itulah yang saya peroleh pada konvokesyen yang lepas. Itulah hadiah dari-Nya. Alhamdulillah.

Gembiranya bukan kepalang. Hadiah buat insan-insan yang saya sayangi. Apabila menerima anugerah tersebut, ramai menjangka saya bakal mengambil langkah dalam bidang yang berbeza selain perguruan. Tapi ternyata jodoh saya dengan bidang perguruan masih kuat.

Sudah lama saya berkira-kira mahu menulis entri tentang perkara yang terjadi kepada saya sepanjang beberapa bulan lepas. Tapi selesai sahaja menulisnya, pasti saya perapkan dalam inbox draft. Tiada kekuatan untuk berkongsi rasa tentang itu.

Kali ini, biarlah saya berkongsi sedikit cerita tentang perkara sebenar yang terjadi. Saya juga berharap, semoga dengannya segala spekulasi dan tekaan yang kurang tepat dapat dihentikan.

Usai konvokesyen yang lepas, saya menerima tawaran menyambung pengajian peringkat sarjana. Saya amat gembira menerima tawaran tersebut. Saya memang terlalu mencintai alam pembelajaran saya dan saya tidak kisah untuk terus menyambung pengajian ketika itu. Lebih-lebih lagi dengan tajaan daripada pihak universiti.

Tapi atas beberapa sebab tertentu, setelah hampir dua bulan menimbang dan berfikir, maka saya mengambil keputusan menolak tawaran tersebut. Tambahan pula dengan beberapa syarat, kandungan perjanjian serta perkara yang berlaku, membuatkan motivasi belajar saya ketika itu jatuh merudum. Hilang entah ke mana. Nafsu untuk belajar seolah terbantut ketika itu. Tak perlulah saya buruk-burukkan mana-mana pihak atau menuding jari menyalahkan sesiapa. Saya cuba berfikiran positif. Mungkin ini ujian buat saya. Dia berikan saya kegembiraan, dan Dia berikan saya ujian. Saya percaya setiap ujian terkandung hikmah.

Setelah menolak tawaran tersebut, saya mengisi permohonan menjadi guru. Segalanya berjalan dengan baik walaupun saya resah sepanjang menunggu keputusan temuduga tersebut.

Alhamdulillah keputusan temuduga telah pun saya ketahui. Itulah hadiah hari jadi saya pada tahun ini (walaupun hadiah itu lewat sedikit daripada tarikh hari jadi saya-21 Mac). Tidak lama lagi saya akan memulakan tugas sebagai guru. Semoga segalanya berjalan lancar. Semoga yang indah-indah akan hadir jua. Terima kasih, Tuhan! Engkau lebih mengetahui apa yang terbaik untukku! Aku redha dengan qada' dan qadar Mu.

*Saya masih menyimpan hasrat menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Ya. Saya akan cuba merealisasikan semua impian saya. InsyaALLAH.

6 comments:

CIKGU WANIEY said...

salam...mengenali akak sekadar dari jauh saja....tahniah...moga2 mampu cemerlang sepertimu jua...doakan saya juga...selamat mengajar, tuluskan hati kerana Illahi, pasti lurus perananmu untuk berbakti..

FiraHasan said...

InsyaAllah kak. Di mana ada kemahuan di situ ada jalan kan ? hehe. selamat maju jaya ! :)

Anonymous said...

tahniah :)

Miss Bieb Juddin said...

Cikgu Waniey > Salam. Terima kasih, Waniey. Waniey juga boleh cemerlang seperti itu. Usaha bersungguh-sungguh dan berilah yang terbaik. Usaha lebih, insyaALLAH ganjaran pun lebih, di samping doa dan tawakal pada-Nya. Semoga kejayaan mengiringi perjalanan hidup Waniey jua!

Miss Bieb Juddin said...

Fira Hassan > Ya. Setiap usaha yang bersungguh, pasti Tuhan tunjukkan jalan. Yakin pada ketentuan-Nya. Btw, thanks, dear!

Miss Bieb Juddin said...

Anonymous > Terima kasih. :)