Friday, March 16, 2012

Hati berubah?

Hati ini kompleks. Rasanya rencam. Emosinya pelbagai. Ada ketika hujan berbunga, ada ketika kemarau melanda. Dan kita, hanya mampu mengawal selagi terdaya. Apabila terpaksa, keadaan menduga segenap penjuru, maka mungkin juga kita terpaksa mengubah haluan, mengubah laluan. Mengelak duri, biar tidak luka!

Kita pernah bercinta. Cinta itu hadir di mana-mana. Rasanya mekar. Tapi sampai kapan mekarnya? Andai tidak dibaja dan dijaga.

Berhubung sahaja tidak cukup. Cinta perlu lebih dari itu. Berkorban, menjaga dan saling menerima. Jujur dalam setiap tingkah dan kata.

Mungkin kita dan kekasih hati pernah berseteru, menjadi musuh dalam cinta yang kita sendiri adalah wataknya. Tapi, kita dan si dia juga pernah menjadi teman terbaik, berkongsi tawa dan duka, menerima saat di puncak atau di lopak. Ya, semasa kita menjadi sanjungan atau juga semasa menjadi sindiran, kita kekal erat, berganding tak mahu lepas. Biar segala rasa dikongsi bersama. Itu cinta. Cinta sejati, yang sukar ditemui.

Tapi, kapan pun, hati bisa berubah. Atas alasan apapun. Yang kadangkala kita sendiri tidak faham mengapa. Celik sahaja mata, kita mungkin sudah saling lupa. Lupa kita pernah berjalan bersama, lupa kita pernah makan sepinggan berdua, lupa kita pernah saling mendukung saat rebah. Kerana apa bisa lupa? Kerana ego membatasi cinta. Lantas, ada yang membiar hati berubah. Usaha? Tiada. Duduk dan biarkan sahaja takdir membawa hati ke mana.

Hari ini, jalan ini, di tempat ini kita berdiri. Kadang ada yang duduk berteleku mengenang perjalanan diri. Cinta membawa kita ke sini. Mungkin ego juga membawa haluan ke mari. Kita sudah memilih begini.
Perjalanan hidup bisa berubah. Begitu juga dalam hal cinta. Dugaan ada di mana-mana. Tapi, kita masih punya daya untuk bertahan. Menepis segala duga, demi cinta! Kalau itu yang kita mahu sebenarnya! Ya, cinta! Cinta sebenar cinta! Ini bukan masa untuk kita bermain dan menduga hati. Ini bukan masa untuk kita berjual beli berniaga cinta sendiri.

Kadang takut menjerit pada dunia tentang cinta yang dipunya. Kerana bimbang, andai cinta itu terhenti di mana-mana. Tapi kita mesti bertahan. Andai itu cinta yang bisa membawa kita kepada Tuhan, maka jangan lepaskan. Cinta yang sejati takkan datang berulang kali. Saat terjumpa, jagalah sebaiknya! Ini pesan, buat saya dan semua! Semoga cinta sejati itu milik saya, kamu dan semua! :')

No comments: