Wednesday, March 31, 2010

Penilaian pertama

Sewaktu menikmati keindahan alam dan kedinginan Tanah Tinggi Cameron, teman saya bercerita. Tentang kehidupan dan perjalanan hidup. Ya. Semua berkisar tentang kehidupan manusia.

Teringat katanya, jangan memandang seseorang hanya berdasarkan penampilan dan perwatakan. Mungkin sahaja orang yang berperwatakan tidak seberapa pada pandangan kita adalah seorang yang sangat baik dan berjaya. Kerana itu pepatah Inggeris ada berkata (baca: terjemahan), jangan menilai buku daripada kulitnya.

Benar. Benar. Benar.

Saya pernah berjumpa dengan pelbagai manusia. Ada yang sifat dan sikapnya tidak sesuai dengan penampilan yang ditonjolkan. Bayangkan sahaja, seorang guru, mengeluarkan kata-kata kesat. Sedangkan guru ini yang akan mendidik anak bangsa. Mendidik dengan kata-kata kesat? Seorang guru juga ada yang mengajar secara 'mahu tak mahu', contohnya hanya menyuapkan pelajar dengan nota tanpa penerangan dan penjelasan (baca: bahasa tepatnya, malas mengajar). Saya berharap anak saya (baca: masa hadapan) tak dididik oleh guru sebegitu.

Saya juga pernah melihat, golongan bertudung besar dan labuh, tetapi mempamerkan perlakuan yang tidak elok. Lebih malang lagi menunjukkan sikap yang tidak sesuai dengan imej yang ditampilkan.

Saya juga mempunyai rakan-rakan. Tidak bertudung. Tetapi sikapnya sangat menyenangkan hati dan mempamerkan sifat terpuji. Cuma perlu berubah untuk menutup rambut di kepala.

Seorang pelajar, sentiasa ingat waktu solat, dan bersegera ke surau sekolah. Mempamerkan akhlak yang baik. Rupanya kaki ponteng. Lepak di kantin bersama rakan-rakan.

Saya mempunyai rakan, agak selekeh. Tidak mementingkan penampilan. Tetapi duit dan harta tidak terhitung. Sekalipun hanya menumpang kekayaan ayah dan ibu.

Teman! Benar kata kamu! Tidak semestinya yang kelihatan elok itu, elok. Tidak semestinya yang dianggap cabuk itu cabuk. Tidak semestinya yang selekeh itu tidak berjaya. Dan tidak semestinya yang di pandang serong itu salah. Sesiapapun tidak harus berbangga diri dengan memperlekeh orang lain. Perdana Menteri, kerani, guru, peguam, pegawai, petani, semua sama sahaja. Manusia biasa.

Mungkin sahaja yang di bawah itu lebih mulia. Mungkin sahaja yang dianggap biasa-biasa itu lebih berjaya dan berharta. Jangan menilai buku dari kulitnya. (Tetapi, dahulu, penilaian pertama saya tentang kamu adalah dari wajah dan sikap kamu yang pada mulanya agak menggerunkan dan menjengkelkan. Hahaha~Tapi saya tahu penilaian saya ketika itu silap. Kamu baik. ~Sila kembang kempiskan hidung~hi3) Terima kasih ya! Kamu banyak mengajar saya tentang realiti hidup.

2 comments:

Unknown said...

hai kak bieb.. lama xjumpa ... cam ne praktikal?? sihat?

Miss Bieb said...

Kulat : Hai Mizan..ha'ah.lama x jmpa..akak sht je..praktikal?biasa je..tp azab gak r..bdk2 zaman skrg x tkt ckgu..hu3..