Friday, August 27, 2010

Berubah

Mungkin cerita dongeng boleh berubah. Siapa tahu. Kalau dalam cerita dongeng dahulukala Cinderella berkahwin dengan Putera Raja, mungkin plotnya menjadi berbeza. Cinderella berkahwin dengan salah seorang daripada 7 lelaki kerdil yang menjaganya. Barangkali sikap salah seorang lelaki kerdil itu yang menjaga dan menyayanginya membuatkan Cinderella terpaut. Dan akhirnya merubah cerita dongeng yang tersebar sekian lama.

Sikap juga boleh berubah. Kalau hari ini kita berbuat salah dan insaf serta memperbetulkan yang salah, mungkin sahaja kita akan menjadi insan yang paling bahagia.

Pemikiran boleh berubah. Kalau hari ini kita berfikir akan susah dan musibah, kemudian kita membiarkan emosi menguasai ruang fikir, mungkin sahaja keadaan menjadi kalut. Melainkan kita berubah, berfikir bahawa setiap dugaan, godaan dan cabaran sebagai satu ujian, dan kita tak harus gagal dalam setiap ujian. Saya percaya, kita boleh berjaya.

Dalam hidup ini segalanya mungkin. Dan kemungkinan untuk berubah, diubah atau mengubah sentiasa ada. Cuma perlu bijak mengatasi segala yang tiba. Yang tabah, sabar dan pandai akan berjaya. Yang lemah (dan tidak bijak), pasti kalah.

No comments: